Syarikat penerbangan Air Algerie hari ini memaklumkan ia telah terhilang hubungan dengan sebuah pesawat penumpang miliknya hampir sejam selepas ia berlepas dari Bukina Faso ke Algiers.
Menurut laporan AFP yang memetik kenyataan agensi berita kebangsaan APS, syarikat penerbangan itu telah menggerakkan satu pelan kecemasan untuk mengesan pesawat AH5017.
Menurut satu sumber, pesawat itu hilang hubungan apabila ia berada di ruang udara Mali ketika menghampiri sempadan Algeria.
“Pesawat itu berada tidak jauh dari sempadan Algeria apabila anak-anak kapal telah diminta untuk mengubah arah kerana kadar penglihatan yang tidak baik dan untuk mencegah risiko berlanggar dengan pesawat lain di laluan Algiers-Bamako," kata sumber itu.
“Hubungan hilang selepas mengubah arah.”
Pesawat itu dilaporkan membawa 110 penumpang.
Salah satu nahas pesawat yang paling buruk di Algeria berlaku pada bulan Februari tahun ini, apabila sebuah pesawat C-130 tentera yang membawa 78 orang terhempas di kawasan pergunungan ke timur laut negara itu, membunuh lebih daripada 70 orang.
IKLAN :