Pasir Mas: Suami isteri ditahan reman selama empat hari bermula hari ini sehingga Khamis berhubung kes penderaan kanak-kanak berusia lima tahun.
Perintah tahanan reman itu dikeluarkan Pendaftar Mahkamah Sesyen/Majistret Pasir Mas, Rashid Mustapa, hari ini.
Pasangan itu yang juga bapa dan ibu tiri kanak-kanak berkenaan berusia 39 serta 25 tahun sebelum itu ditahan polis di hadapan restoran di Jalan Bayam Kota Bharu, 9 malam tadi.
Kes itu disiasat mengikut Seksyen 31 (1) Akta Kanak Kanak 2001.
Akhbar sebelum ini melaporkan kanak-kanak perempuan berusia lima tahun patah 13 tulang dan cedera teruk dipercayai didera ketika dalam jagaan ibu tiri di Rantau Panjang, di sini.
Kanak-kanak itu dikenali Yaya dipercayai sudah dicederakan sejak enam bulan lalu, sebelum disedari ibu kandung Sana Abdul Malek, 28, pada Rabu selepas mengambilnya dari jagaan bekas suami dan ibu tiri.