PAGparanormal ditemuramah oleh Utusan Malaysia


DUA daripada tiga kondominium Highland Towers yang masih berdiri selepas satu daripadanya runtuh menyembah bumi pada 11 Disember 1993 adalah saksi kepada malapetaka yang cukup tragis.

Selepas kejadian yang mengorbankan puluhan nyawa itu, arahan dikeluarkan kepada penghuni blok B dan C supaya meninggalkan kediaman bagi tujuan keselamatan. Sejak itu, kedua-dua blok terbiar kosong.

Namun setelah hampir 20 tahun, kisah mengenai Highland Towers masih menjadi topik perbualan khususnya kisah-kisah yang dikaitkan dengan unsur-unsur seram dan misteri.

Salah satu daripada dakwaan yang paling kerap didengar mengatakan lokasi itu 'keras' atau berhantu. Saki baki bangunan Blok B dan C yang terbiar dipercayai menjadi 'kediaman' roh-roh mereka yang terkorban.

Cuma peliknya, dakwaan mengenai kisah seram itu hanya bermain di mulut mereka yang mendakwa pernah masuk ke dalam sisa tinggalan kondominium tersebut namun tidak pula mencetuskan kebimbangan di kalangan penduduk.

Setakat ini, kebenaran mengenai kisah-kisah seram tersebut hanya diketahui oleh mereka yang pernah mengalaminya. Selebihnya mungkin sekadar rekaan.

Dalam pada itu, dakwaan terbabit disangkal oleh kumpulan lain yang turut aktif melalukan kajian dan penyelidikan berkenaan dengan kewujudan makhluk halus ini.



Pengembaraan Alam Ghaib (PAG Paranormal) cuba merungkai kesahihan kisah misteri disebalik Highland Tower tersebut wujud ataupun sekadar rekaan yang digembar gemburkan banyak pihak.

Menurut jurucakap PAG Paranormal, Azree Jaafar, 33, kawasan tersebut sebelum ini dipenuhi semak samun dan dibiarkan begitu sahaja tanpa sebarang penyeliaan menjadikan kawasan tersebut tidak ubah seperti berlukar.



"Tambahan pula, terdapat dua bangunan usang kosong dan ditinggalkan hampir 20 tahun menampakkan tempat tersebut menjadi suatu tempat yang seram," katanya ketika ditemui baru-baru ini.





Hakikatnya, ujar Azree, sepanjang kajian yang dijalankan PAG Paranormal, tiada sebarang bukti yang boleh mengklasifikasikan tempat terbabit adalah tempat berhantu.

"Mungkin pihak yang mendakwa kawasan yang pernah menjadi sisa runtuhan bangunan itu berhantu hanyalah secara kebetulan ataupun sekadar bualan mulut sahaja.

"Mereka mungkin hanya untuk menakut-nakutkan orang ramai dengan merekayasa cerita untuk lebih menarik dan menyedapkan telinga mendengar," jelasnya.



PAG Paranormal yang ditubuhkan sejak 2009 telah banyak membuat kajian berkenaan dengan alam ghaib menggunakan cara tradisional dan moden.

"Sepanjang kajian, pengalaman yang menyeramkan adalah semasa membuat kajian di Penjara Pudu dan jalan lama Karak, Pahang.

"Kajian tersebut jelas membuktikan bahawa wujud kejadian aneh seperti kedengaran suara perempuan yang mengilai dan menjerit," ceritanya.

Kejadian aneh di Highland Towers pula tidak pernah dirasainya, namun tidak dinafikan bahawa tempat itu turut mempunyai 'penghuni' ekoran dua bangunan yang sudah lama dibiarkan begitu sahaja dan tidak dihuni.

Artikel Penuh: Klik Sini
© Utusan Melayu (M) Bhd    






Popular Posts

Copyright© 2011-2015 Segala yang tercatat diatas semuanya Hak Milik Ron Asraff