BOM meletup di Bukit Bintang semalam





Seramai 14 orang cedera termasuk seorang lelaki pekerja joki parah dalam letupan bom buatan sendiri di hadapan sebuah kelab malam di Kompleks Sun, Bukit Bintang di sini, awal pagi Khamis.

Ia merupakan kejadian serangan bom pertama di pusat hiburan di negara ini dan dipercayai berpunca daripada pergaduhan antara dua kumpulan kongsi gelap.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur ACP Khairi Ahrasa berkata dalam kejadian kira-kira 4.20 pagi itu, sebanyak dua bom dilemparkan dari aras dua tempat letak kereta bangunan itu.

"Suspek dipercayai membaling bom dari tingkat atas bangunan. Satu daripada bom itu meletup di hadapan kelab malam. Satu lagi tidak meletup dan berada di bawah kereta Toyota Camry, yang terletak berhadapan kelab malam tersebut," katanya kepada pemberita di sini pada Khamis.

Katanya, tujuh mangsa termasuk seorang yang cedera parah dihantar ke Hospital Kuala Lumpur manakala tujuh lagi dihantar ke Hospital Tung Shin untuk rawatan lanjut.

"Kami sedang mengenal pasti motif sebenar kejadian, latar belakang mangsa dan bahan letupan yang digunakan. Kami menerima panggilan daripada orang awam pada 4.25 pagi berhubung kes itu," katanya.

Khairi berkata semua mangsa berusia antara 20 dan 40 tahun.

Tinjauan Bernama di tempat kejadian mendapati kawasan letupan itu telah ditutup kepada umum bagi membolehkan pihak polis menjalankan siasatan lanjut.

Terdapat empat kenderaan diletakkan di hadapan kelab malam tersebut iaitu masing-masing sebuah Toyota Vellfire, Mazda, BMW dan Toyota Camry.

Vellfire berkenaan tertanggal bumper hadapannya akibat letupan itu dan kelihatan tompok-tompok hitam di atas jalan berhampiran kenderaan tersebut termasuk serpihan kaca.

Mereka yang cedera termasuk pelancong dari Thailand, Singapura dan China.

Sumber polis berkata joki kereta yang cedera parah itu dikenali sebagai Tiong Kwang Yie dan kini menjalani pembedahan di HKL.

Sumber : BERNAMA

Popular Posts

Copyright© 2011-2015 Segala yang tercatat diatas semuanya Hak Milik Ron Asraff